Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 Ogos. - Bersempena bulan bersejarah ini, Negara Brunei Darussalam (NBD) giat mengadakan acara memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) juga tidak ketinggalan dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan tersebut.
Sehubungan itu, Majlis Berselawat telah diadakan di BKISHHB bagi menandakan dan membesarkan bulan kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hadir selaku jemputan khas ke majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.
Turut hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.
Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam beramai-ramai dipimpin oleh para pegawai dan kakitangan BKISHHB, dan disudahi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD yang dipimpin oleh Pegawai SkiPPA, BKISHHB, Awang Muhammad Nazrul Helmi bin Muhammad Said Nazmi.
Majlis tersebut juga diadakan untuk menyemarakkan lagi suasana di BKISHHB khususnya di dalam Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dibuka selama sebulan bermula pada hari ini, 1 Rabiulawal 1447 Hijrah bersamaan 25 Ogos 2025 Masihi hingga Isnin, 29 Rabiulawal 1447H bersamaan 22 September 2025M.
Antara bahan koleksi yang unik dan merupakan koleksi yang amat berharga dan tidak ternilai dalam galeri ini ialah koleksi artifak Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengambil peluang ini untuk bertabarruk dengan Rambut Mulia Rasulullah dengan memperbanyakkan berselawat.
Makna tabarruk ialah mengharapkan keberkatan dan kebaikan yang bersumber daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang ditetapkan terhadap sesuatu yang mulia dalam pandangannya kerana segala sesuatu itu adalah merujuk kepada Allah, yang Maha Pemberi.
Disebutkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah membahagi-bahagikan rambut Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada para sahabat supaya mereka bertabarruk dan mengambil berkat dengan rambutnya.